Pengumuman


Selamat Datang Ke Surau TM Kelana Jaya.

Kuliah Zohor 15/1/2013 (Selasa)
Y.Bhg Dato'Daud Che Ngah
Muslim/muslimat dijemput hadir.


Kuliah Zohor 8/1/2013 (Rabu)
Y.Bhg Ustaz Muhsin


Perutusan Tahun Baru 2013 Masihi
En Norsharifuddin Salleh,Pengerusi Surau TM Kelana Jaya
http://stmkelanajaya.blogspot.com/2012/12/perutusan-tahun-baru-2013.html
Sesiapa yang ingin memberi sumbangan untuk Surau TM Kelana Jaya bagi program-program seperti kuliah zuhur, penghayatan bulan ramadhan dan lain-lain. Anda boleh memasukkan ke dalam akaun Surau TM Kelana Jaya seperti berikut :

No Akaun BIMB 12-047-02-013038-3

Jawatankuasa Surau TM Kelana Jaya mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.

Terima kasih.

Isnin, 31 Disember 2012

Perutusan Tahun Baru 2013














 SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2013 MASEHI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera 

Alhamdullilah syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat menyaksikan tertutupnya tirai tahun 2012 dan menyinsingnya fajar baru 2013. Masa terus berdetik, berlalu tanpa menunggu sesiapa. Begitu pantas tahun 2012 melewati kita. Kedatangan tahun baru 2013 kita sambut dengan penuh kesyukuran ke hadrat ALLAH s.w.t kerana dipinjamkan sedetik lebih umur. Tahun 2012 pula kita lepaskan pergi dengan seribu pengajaran. Setiap peristiwa - manis dan indah, masam dan pahit - yang dilalui biarlah menjadi peringatan, pengajaran dan amaran. Bahawa, sebagai hambaNYA kita sentiasa diuji olehNYA untuk menentukan tahap keimanan kita semua terhadapNYA.

Sesungguhnya, apa jua yang telah dikecapi sama ada pangkat atau imbuhan, anugerah atau sanjungan, zuriat atau kejayaan maupun musibah atau kekecewaan adalah ujianNYA jua. Firman ALLAH s.w.t, "Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi ALLAH jualah pahala yang besar" (Quran, At-Taghaabun 64:15). Peringatan ini elok direnung supaya jangan kita menjadi manusia yang terlupa dan terlalai dibuai dek kejayaan, kemewahan dan sanjungan. Sebaliknya, marilah kita mensyukuri setiap nikmat yang dikurniaNYA dengan terus mengerjakan amal baik dan meningkatkan lagi usaha untuk memperbaiki diri, ibadah dan amal, agar kita menjadi orang yang benar-benar berjaya di sisiNYA. Firman ALLAH s.w.t, “Sesungguhnya berjayalah orang yang telah menerima peringatan itu terus berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh)”. (Quran, Al-A’la 87:14)

Tahun 2013 akan menghadapkan kita semua dengan pelbagai ujian dan cabaran baru. Saya dengan rasa rendah diri mengajak semua agar sama-sama kita membuat perancangan yang tersusun dan terperinci bagi menghadapi cabaran di tahun 2013. Semoga kehadiran tahun baru 2013, prestasi kerja dan peningkatan kualiti kehidupan akan bertambah disamping amal ibadat kepada Allah SWT semakin meningkat. Selaku Pengerusi Surau mewakili Ahli Jawatankuasa Surau Telekom Malaysia, saya mengucapkan “Selamat Menempuh Tahun Baru 2013”. Insya-Allah, semoga tahun baru yang kita akan tempuhi ini akan memberi seribu makna untuk kemaslahatan diri, keluarga dan organisasi khususnya Telekom Malaysia Berhad (TM).


Norsharifuddin Bin Salleh
Pengerusi,
Surau TM Kelana Jaya


SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2013 MASEHI
Wabillahit tawfiq wal hidayah wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Rabu, 28 November 2012

Berita: Kuliah Zohor


Oleh : Unit Berita Surau TM Kelana Jaya

Kuliah Zohor bulanan telah diadakan pada 28/11/2012 oleh Y.Bhg Al-Fadhil Ustaz Dato'Daud Bin Che Ngah. Tajuk ceramah berkaitan Hijrah Rasulullah SAW & peristiwa-peristiwa Hijrah penting dikongsi. Sambutan amat menggalakan daripada jemaat lelaki & jemaah perempuan.

Isnin, 26 November 2012

Bahtera Kehidupan

Oleh : Ikhwan Zaini Awang Mat Saaid
 
Alhamdulillah, syukur atas rahmat Allah SWT kita dibumi Malaysia ini dan diberi peluang oleh Allah SWT untuk melayari bahtera kehidupan yang sementara ini. Bahtera kehidupan ini merupakan anugerah yang tidak ternilai oleh Allah SWT kepada kita sebagai hambanya. Nikmat kesihatan, nikmat keamanan dan nikmat segala-galanya Allah SWT kurniakan kepada kita sebagai hamba yang dipilih untuk menjadi hamba yang sujud dan sembah kepada pencipta.

Sesungguhnya, bahtera kehidupan yang dikurniakan oleh Allah SWT ini harus dijaga dan dipelihara daripada tercemar daripada debu-debu dosa yang akan merosakkan hubungan kita sebagai hamba dengan Allah SWT. Apa yang harus kita lakukan bagi memastikan hubungan baik kita sentiasa terjalin dengan Allah SWT? Jawapannya adalah kembali kepada fitrah sebagai hamba Allah SWT yang kerdil dengan melaksanakan segala tanggungjawab sebagai khalifah di dunia ini dan meninggalkan segala larangnya. 

Ramai yang mengakui bahawa Allah SWT itu maha berkuasa, maha pencipta dan maha segala-galanya. Namun, berapa ramai yang sanggup meninggalkan segala larangan dan membuat segala suruhan yang diwajidkan. Oleh sebab itu, adalah penting bagi kita mempunyai nilai keimanan dan ketaqwaan yang mendalam diri. Bagaimana nilai keimanan dan ketaqwaan tersebut dimiliki? Nilai keimanan datang bukan dipaksa. Bukan secara kebetulan. Tetapi, datangnya nilai keimanan daripada naluri dan azam yang tinggi apabila mengenal Allah SWT dengan melalui sesi pembelajaran dan penghayatan Islam. Allah SWT telah melengkapkan kehidupan umat Islam dengan kurniaan seorang Rasul dan kitab Al-Quran yang menjadi garis panduan untuk melayari bahtera kehidupan hingga ke akhir hayat. 

Proses pembelajaran adalah penting. Oleh itu, carilah ilmu. Terokailah ilmu dan beramallah dengan ilmu. Insya-Allah, kehidupan untuk melayari bahtera ini menemukan jalan yang baik untuk Allah SWT. Amin. Usahlah kita menjadi hamba yang rugi sepertimana firman Allah Swt di dalam Surah Al-Ash

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beramal soleh dan berpesan-pesan ke arah kebenaran"

"Selamat beramal, Dekatkanlah Hati Dengan Ilmu"

Selasa, 20 November 2012

Usah bertangguh beribadah ketika hidup

Oleh Dr Mohammad Zain
 
Rasulullah SAW mengingatkan kita kepentingan menggunakan peluang yang diberikan Allah SWT dalam hidup. Kita diingatkan supaya memanfaatkan waktu sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.

Ternyata kurniaan hidup adalah peluang paling bernilai bagi hamba Allah di dunia ini. Sesungguhnya kematian adalah penamat segala ruang dan peluang bagi kita membuktikan pengabdian kepada Allah SWT. Hendaklah diingat peluang hidup di dunia hanya datang sekali saja sama ada kita menikmati hidup ini dengan sempurna atau tidak, jangka hayat kita setakat mana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Apabila sampai waktunya, malaikat maut akan datang menjemput untuk dikembalikan kepada Maha Pencipta. Di sana kita akan ditanya bagaimana kita mengisi peluang yang telah diberikan oleh-Nya. Manusia dijadikan untuk beribadat kepada-Nya, diberi amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi. Ibadat dan tanggungjawab ini mesti dilaksanakan berdasarkan syariat dan perintah-Nya.

Seseorang yang melakukan amalan baik kerana mentaati perintah Allah dikira sudah melakukan ibadat kepada Allah SWT. Sifat orang beriman adalah melakukan amalan baik secara berterusan malah ada ke tahap berlumba-lumba melakukan kebaikan selagi nyawa di kandung badan.

Mereka tahu kiamat diri boleh berlaku pada bila-bila masa atau di mana saja. Imam Ghazali berkata, mati itu ada kalanya berlaku serta-merta. Andainya anda tidak mati serta-merta, anda harus ingat bahawa sakit itu selalu datang dengan serta-merta. Apabila anda sakit, nescaya anda tidak akan berdaya lagi untuk mengerjakan amalan soleh, sedangkan amalan soleh itu pula adalah bekalan akhirat. Usah kita bertangguh untuk melakukan ibadah dengan memberi alasan belum dapat hidayah kerana jika kiamat diri terjadi ketika kita masih sedang menunggu hidayah, bagaimana kita ingin mencium syurga.

Hidayah perlu dicari dan bukan ditunggu. Janganlah menanti masa lapang untuk beribadah kerana hal ini akan memutuskan kita daripada kewajipan menunaikan hak terhadap apa yang telah ditetapkan Allah pada masa lapang itu. Justeru, umat Islam diingatkan berjaga-jaga serta mempersiapkan diri dengan ibadah supaya beroleh kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Allah SWT telah menurunkan al-Quran dan mengutuskan Rasulullah SAW untuk membimbing manusia berjaya di dunia dan akhirat. Jadikanlah perintah dan pengajaran itu sebagai sandaran dalam kehidupan seharian kita.

Isnin, 19 November 2012

Perutusan Tahun Baru Hijrah 1434














Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Muslim dan muslimat sekalian,

 Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah Taala kerana masih lagi memanjangkan umur kita sehingga ke hari ini. Tanpa kita duga, telah tibanya tahun baru bagi kita umat islam iaitu 1434 hijrah. Semoga diri kita mempunyai azam dan kekuatn yang padu dalam menghadapi saki baki hayat yang akan dilalui.

Pengertian hijrah amat besar ertinya. Perpindahan Rasulullah SAW dari Kota Makkah ke Kota Madinah atas perintah Allah SWT. Selepas itu, tiada lagi hijrah sepertimana yang berlaku di zaman Rasulullah SAW. Hijrah yang dimaksudkan disini adalah berubah dari baik kepada yang lebih baik. Sama ada aspek kehidupan, pekerjaan, tugas tanggungjawab dan seumpamanya. Islam juga menyarankan agar kehidupan yang bakal kita lalui di dalam kehidupan seharian lebih baik daripada hari yang kita lalui. Justeru, persediaan yang cukup untuk melakukan perubahan harus selari dengan syariat islamiah.

Marilah kita hayati firman Allah SWT

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 100 yang bermaksud: 

“Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati dibumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Mengakhiri perutusan, saya ahli jawatankuasa Surau TM Kelana Jaya merakamkan ucapan selamat menyambut Maal Hijrah 1434H kepada seluruh warga Staff TM khususnya Staff TM Kelana Jaya  walau di mana jua berada. Marilah kita menyambutnya dalam suasana penuh kesyukuran dan keinsafan serta bertekad untuk melakukan perubahan kearah kebaikan. Insya-Allah.

Wabillahit-Taufiik wal-Hidayah, Wassalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wabarakaatuh.

En Norsharifuddin Bin Salleh
Pengerusi, Surau TM Kelana Jaya

Harga Sebuah Pengorbanan

 oleh: Kamil Faiz | www.kembarailahi.com 

Suatu ketika, seorang budak kecil berkata kepada ibunya, “Ibu, kenapa ayah setiap hari pergi bekerja? Petang balik, esok pagi pergi lagi. Ayah tak penat ke? Amin teringin nak bermain bersama ayah lama-lama…” Ibunya terdiam.

Seketika kemudian, ibunya menjawab, “Amin, ayah pergi kerja untuk kita sekeluarga. Nak tengok Amin senang, gembira. Dapat makan cukup, dan boleh pergi sekolah dengn baik. Kalau ayah tak pergi kerja, macamana ayah nak cari duit nak bagi Amin makan dan pergi sekolah? Sebab itu Amin kena belajar pandai-pandai, baru ayah dan ibu rasa gembira melihat Amin pandai dan berjaya. Lagipun, ayah pergi kerja sekejap sahaja kan? Nanti petang dia balik lah.” Amin menggangguk tanda setuju. “Ya, ibu. Amin akan berusaha bersungguh-sungguh sampai berjaya!”
Usaha tangga kejayaan.

Bagi mendapatkan sesuatu perkara, setiap orang memerlukan usaha dan pengorbanan. Tidak kira atas perkara kecil atau besar, tanpa usaha pasti tiada hasil untuk digapai. Ingin membeli kasut, kena ada wang dan kedai. Tanpa wang atau pergi kedai, tiada kasut ynag boleh diveli, tiada orang apa yang dihajati di hati.
Ingin berjaya dalam pelajaran, perlu bersungguh-sungguh belajar dan berdikari. Rajin membaca bahan rujukan dan nota, berjumpa guru atau pensyarah, dan bersengkang mata menyiapkan kerja sekolah atau assingment.
Ingin mendapat mata pencarian, perlu bekerja. Penat lelah, sakit badan dan titisan peluh adalah perkara biasa untuk meraih gaji atau mata pencarian. Jika hanya bersenang lenang, tiada wang yang dapat, membuang masa, dan kesusahan pula menimpa.Inginkan keluarga bahagia, kena menjadi orang yang memberi, bukan sentiasa mengharap dan menerima. Kena tahu menjaga hak dan tangungjawab, bukan hanya nak senang dan suka-suka. Kena sentiasa mentaati perintah Allah dan bawa keluarga menurut jalan agama, kerana kebahagiaan sebenar bukan pada harta, keturunan, atau kecantikan, tetapi pada hati yang sederhana dan dekat dengan rahmat Allah SWT. Semua kesenangan dan kejayaan yang ingin dikecapi kemudian hari, memerlukan usaha dan pengorbanan pada hari ini. Inginkan kesusahan pada esok hari, tak perlu buat apa-apa, biar sahaja masa berlalu tanpa henti.
Agama itu ialah pengorbanan.

Begitu juga berkenaan nilai dan pentingnya harga agama dalam diri manusia. Tidak kiralah mereka itu beragama apa, agama itu hanyalah bernilai apabila mereka bersunggh-sungguh memahami apa yang ada dalam agama mereka. Apatah lagi apabila dibicarakan tentang agama yang hak, Islam. Islam tidak bergantung kepada bangsa, tidak juga kepada masa, suasana, masyarakt, atau status manusia. Islam adalah universal, semua orang di serata dunia walau apa keadaannya sesuai itu beragama Islam. Yang paling penting, ajaran Islam tidak hanya untuk memberikan petunjuk ketika manusia hidup di dunia, sebaliknya amat penting ketika manusia berada di akhirat sana. Tiada agama yang begitu sempurna seperti Islam. Ini menunjukkan bukan manusia yang mencipta ajaran Islam. Tentu sahaja yang berkuasa , mencipta, terus hidup, tidak akan mati, dan mengetahui segala-galanya, Allah SWT.
Namun,
Kebenaran dan nilai Islam tidak dapat dirasai, melainkan seseorang itu berkorban untuk memahami dan mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya. Seperti mana seorang petani hanya tahu harga pertaniannya apabila bersusah payah bercucuk tanam dan menunggu masa yang lama menuai hasilnya. Pelaajr hanya tahu nilai pengajiannya apabila bersungguh-sungguh berusaha untuk berjaya. Seorang ibu hanya merasai nilai kasih sayang kepada anaknya, apabila telah bersusah payah mengandung, penyusu, mendidik, dan membimbing anak-anaknya sehingga berjaya.
Hari ini

Manusia lebih memahami keperluan dunia daripada keperluan agama. Manusia lebih sukakan kemewahan dunia, daripada kmewahan dan janji Allah dalam agama dan di akhirat sana. Manusia lebih senang membuang masa, bincang perkara dunia, dan buat dosa daripada mengumpulkan pahala, daripada sibuk beribadah, berfikir, dan mengumpulkan ganjaran untuk dihsab di akhirat sana. Hari manusia tidak pernah memahami Islam kerana tidak pernah terasa penting agama dalam kehidupan mereka. Hari ini manusia lebih nampak kepentingan kerjaya, wang, dan manusia, daripada pentingnya beribadah, dan mentaatti suruhan Allah dan RasulNya. Hari ini semua kerosakan dan kemusnahan dalam agama berlaku kerana tertipu dengan pesona dunia yang sementara, dan tidak pernah berkorban untuk memahami agama yang berada di dalam mykad mereka.
Janji Allah

Barang siapa yang bersungguh-sungguh di jalan (agama)Kami, sungguh benar-benar akan kami tunjukkan jalan-jalan Kami, dan Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.
 [QS. Al Ankabut: 69]
Jadi, jika kita mahu mengetahui apa yang istimewa dan kelebihan mengamalkan Islam, bepegang dengan syariat dan mengetahui perkara hakikat kehidupan, mencapai kejayaan di dunia dan akhirat, dan mengetahuipatah makna di sebalik kebaikan dunia dan akhirat, Kembalilah kepada al-Quran dan as-Sunnah.
Berkorbanlah untuk mengamalkan agama, dan mengamalkan sunnah baginda, Muhammad SAW. Kerana,
“Harga sesuatu perkara hanya bernilai apabila seseorang itu benar-benar berkorban untuk mendapatkan ia”

Isnin, 1 Oktober 2012

Motivasi : Muhasabah Diri

Oleh : Ikhwan Zaini Awang Mat Saaid

Hidup ini adalah ibarat putaran roda. Kadang-kadang kita berada di atas, kadang-kadang kita berada di bawah. Ada juga kita berada di atas sentiasa. Begitu juga sebaliknya. Walaubagaimanapun, kehidupan ini sepertimana yang kita tahu bahawa, dunia bukan tempatlah yang kekal abadi. Negara akhirat adalah tempat untuk kita menuai hasil daripada kerja keras semasa di dunia ini.

Hari ini tanggal 1 Oktober 2012. Hanya tinggal 2 bulan setengah lagi untuk kita melangkah ke tahun baru masihi. Begitu juga dengan bulan islam. Kita semua sudah hampir ke penghujung bulan. Bagai seperti semalam kita menyambut Awal muharam & tahun baru masihi. Masa yang berlalu tidak akan menunggu kita walaupun sesaat. Walau macam mana sekalipun kita tidak sukar dengan kepantasan masa, namun ianya tetap akan berjalan tanpa menunggu sesaat.

Bagaimana pula dengan amalan kita? Cuba kita renung sejenak & tafakur tentang kehidupan yang sudah dilalui. Adakah, kehidupan yang dilalui itu memberi seribu kebahagian kepada kita? Bagaimana pula persiapan amalan untuk kita sembahkan di hadapan Allah SWT? Adakah cukup dan puas hati dengan amalan yang kita lakukan selama hidup selepas mencapai umur baligh sehingga kini.? Berapa banyakkah amalan baik dan amalan buruk yang kita buat? Berapa banyak amalan kebajikan yang dilakukan diterima oleh Allah SWT. Semua itu, eloklah kita tanya kepada diri sendiri, sebelum semua soalan-soalan tersebut ditanya oleh Allah SWT.

Justeru, manfaatlah masa -masa yang ada ini dengan sebaik-baik mungkin. Tiada yang boleh menolong kita selepas roh berpisah daripada jasad. Apa yang berguna kepada kita 3 sahaja, amal jariah yang dilakukan, sedekah dan anak yang soleh sentiasa mendoakan ayah dan ibu. Oleh itu,  marilah kita tingkatkan amal ibadat kita. Bukan hanya sekadar melakukan yang wajib, namun tambahlah dengan amalan sunat seperti mendalami ilmu (agama), sedekah berpanjangan, menginfaq sedikit harta kejalan Allah SWT, berjihad, membantu golongan yang memerlukan dan seumpamanya. Insya-Allah, semoga segala amalan kita itu akan membantu kita apabila dijemput oleh Allah SWT.

Selasa, 14 Ogos 2012

Musibah atau barakah bukan kesimpulan hidup

Hashim Ahmad 
Suatu masa ada seorang petani miskin yang mempunyai seekor kuda yang sangat indah. Kuda putih yang gagah itu sangat menarik perhatian sehingga raja terpikat dan bermaksud untuk membelinya. Tapi si petani menolak untuk menjualnya.

Si petani itu tidak bersedia menjual kuda itu walaupun raja sudah berkenan membayar dengan harga berapa pun. Jiran sekitar petani sangat menyesal dengan sikap petani miskin itu. Mereka berpendapat bahawa dengan menjual kuda itu, petani itu dapat mengubah hidupnya dan menjadi lebih senang.
Jiran tetangga petani itu juga ada mengatakan bahawa kemungkinan petani itu akan menerima musibah atau kutukan akibat menolak rezeki sedemikian besar.

Sesungguhnya, hidup kita ini bagaikan lembaran buku yang telah ditulis-Nya. Di sebalik lembaran musibah, boleh jadi tersimpan barakah yang tiada tara dan sebaliknya. Ketika saat tertimpa musibah, bersabarlah dan berharaplah bahawa lembaran selanjutnya adalah lembaran anugerah. Beberapa hari kemudian, kuda putih milik petani itu hilang daripada kandangnya. Tetangga si petani miskin itu berasa hairan. Mereka menyalahkan petani miskin itu yang tidak mahu menjual kudanya.

Ahad, 5 Ogos 2012

Pintu Taubat Terbuka Luas Bagi Setiap Hamba

Sumber : Syed Abi Ghufran Syed Ahmad Al Idrus


Islam mempunyai pedoman jelas, tegas serta sistem yang mudah untuk memperoleh kebenaran dan memberi jaminan mengangkat martabat manusia ke tingkat yang mulia.

Namun, manusia sering tersesat daripada jalan digariskan disebabkan kebodohan, tekanan hawa nafsu dan godaan syaitan. Manusia hanya memikirkan kepentingan dirinya dengan tidak menghiraukan kepentingan umum. Oleh kerana itulah, Islam mengajak umatnya berpegang teguh kepada hak dan kebenaran sehingga manusia tidak tersesat dari jalan yang benar dan berpaling dari tujuan utama hidup.

Firman Allah SWT: “Maka berpegang teguhlah kamu kepada agama benar yang telah diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus. Dan sesungguhnya al-Quran itu benar-benar adalah suatu kemuliaan besar bagimu dan bagi kaummu dan kelak kamu akan diminta bertanggungjawab.” (Surah az-Zukhruf, ayat 44)

Manusia sebagai makhluk Tuhan tidak bebas daripada kekeliruan dan kesalahan. Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang sentiasa memberi kesempatan pada saat ia tergelincir untuk memperbaiki kesalahannya dan mengubati penyakitnya.

Kemudian, memperbaharui langkahnya di jalan yang lurus menurut hati nurani dan fitrahnya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tiap anak Adam adalah pembuat kesalahan, dan sebaik-baik orang yang membuat kesalahan ialah mereka yang segera bertaubat.” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Selasa, 31 Julai 2012

Hubungi

Sesiapa yang ingin memberi sumbangan untuk Surau TM Kelana Jaya bagi program-program seperti kuliah zuhur, penghayatan bulan ramadhan dan lain-lain. Anda boleh memasukkan ke dalam akaun Surau TM Kelana Jaya seperti berikut :


No Akaun BIMB 12-047-02-013038-3

Jawatankuasa Surau TM Kelana Jaya mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.

Terima kasih.

Isnin, 30 Julai 2012

Rantaian Hadis Berkaitan Puasa

Hadis Pertama
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."


Hadis Kedua
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."