Hadis Pertama
Abu
Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah
dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah
diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang
Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau
haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke
atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".
Allah
mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian
berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu
yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di
dunia) dan akan mendatangimu."
Pada bulan ini syaitan-syaitan
yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah
maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain
Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini)
akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya:
"Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh
Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu
diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."
Hadis Kedua
Ubadah
Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu
hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan
Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan,
menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu,
melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar
dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah
kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib
malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."